Pages

Saturday, March 23, 2013

Kacau


"Ma, tengok angah nii!"

"Kesian ma, dari kecik lagi dah tengok angah. Tiba nak suruh ma tengokkan lagi. Tengok lain la pulak. Tengok tv, tengok pemandangan ke, ade la jugak faedahnya.. "

"Ma!"

Itu la kerja sampingan tanpa gaji aku waktu dulu-dulu duduk rumah takde aktiviti lain nak dibuat. Yang dikacau, makhluk-makhluk comel yang ada kat rumah waktu tu. Adik-adik perempuan permata hati. Dulu si acik yang jadi mangsa tapi bila dah tua-tua ni, si bongsu pula pengganti.

Bukan selalu dapat jumpa dengan mereka-mereka ni sekarang. Sekali sekala berjumpa, memang banyak modal nak meloya. Tapi akhir-akhir ni mereka semakin berbakat. Berbakat nak kenakan aku balik. Aih, lawan tok guru. Kacau ini kacau untuk merapatkan yang jurang, mendekatkan yang jauh, menceriakan yang muram.

Bila duduk di bumi Arab Mesir ini, macam-macam perangai manusia boleh jumpa. Ramai yang baik dari alim ulama'nya tapi ramai juga yang memang jenis saja buat kacau. Motor yang diparking semalamnya elok. Esoknya dah pecah cermin. Itu kira nasib baik. Ada yang tinggal cuma cermin, motornya selamat di'angkut' lari. 
Kacau ini kacau cari pasal. Mengeruhkan yang jernih.

Bila tiba musim periksa kat sini, lain pula kacaunya.

"Ok, set masa. Nak baca buku ni 2 jam. Jangan berhenti selagi tak habis!"

5 minit. "Eh, ikan tak bagi makan lagi"
Lari kejap pergi bagi makan ikan.

10 minit. " Ish, baju tak lipat lagi"
Lari pulak pergi kemas-kemas baju.

15 minit, 20 minit. Ada saja yang terfikir nak dibuat. Macam tak boleh nak ditangguh pula kerja-kerjanya. Padahal sebelum-sebelum ini tak terfikir pula nak dibuat. Masa-masa ini jugak yang di'kacau'. -_-'
Macam-macam distraction nya.

Kadang-kadang hati kita juga sangat mudah dikacau dengan perkara yang tidak sepatutnya. Tempat itu yang pada asalnya telah dikhaskan hanya untuk menempatkan Sang Pencipta hati tapi kita isikan dengan yang selainnya. Moga dunia itu kekal di genggaman tidak ber metastasis masuk ke dalam hati. Kalau ada, cepat-cepat kita bagi radiotherapy atau chemotherapy nya. Moga Allah jaga hati-hati kita.


يَامُقَلِّبَ الْقُلُوْبِ ثَبِّتْ قَلْبِيْ عَلى دِيْنِكَ
"Wahai Dzat yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku atas agama-Mu"

(HR Imam Ahmad, Imam Tirmidzi dan lainnya)

Masjid cucu Saidina Rasulullah S.A.W, Sayeda Zainab dalam kekuningan. Unedited.
-Kredit untuk penghuni bangunan 11 tingkat. Dapat view lawa-
Hari ini, atmosfera Kaherah pun turut sama di kacau. Kena kacau dengan ribut debu-debu pasir. Tengok kiri, kanan, atas, bawah. Semua jadi kuning. Petanda musim panas dah mula jenguk-jenguk datang nak kacau musim sejuk.


Sunday, March 17, 2013

RM 50


Pulang sekolah petang.

"Jom teman aku.."

Malas-malas pun diringankanlah juga badan ni nak bergerak. Penangan janji yang aku telah sepakati dengan ahli beit untuk membeli belah di sekitar masjid Azhar.

Keadaan trafik di Kota Kaherah ini sememangnya sesak dengan dengan pelbagai jenis kenderaan di waktu begini. Ya, pelbagai jenis kenderaan. You name it! Dari sekuno-kuno kereta, ke secanggih-canggihnya. Dari besi bergerak yang tak bernyawa sehinggalah kereta keldai dan kuda pun tak ketinggalan.

Alhamdulillah, kesesakannya tak terasa mana, berkat kuda perang (baca: motor) kepunyaan ahli beit aku yang kencang meredah dan mencelah. Perjalanan mengambil masa kira-kira 15 minit. Perjalanan yang sesingkat itu boleh jadi berlipat kali ganda lamanya jika menaiki pengangkutan awam samada teksi, van, keldai, atau bas. Bukan kerana jauh jaraknya, tapi sebab banyak sesaknya.



Sampai di perkarangan masjid Al-Azhar, terjenguk-jenguk mencari-cari ruang untuk meletakkan motor. Tongkat motor, kunci rantai. Berpaling ke belakang, ternampak sekumpulan muka-muka Melayu.

"Gaya macam orang Malaysia.." aku main congak-congak.

Kebiasaannya masyarakat Malaysia yang ada di bumi Mesir ini majoritinya terdiri dari pelajar-pelajar. Jadi baya umur itu selalunya tidak jauh beza antara satu sama lain. Bila terserempak dengan kumpulan yang ramai-ramai begini, riak wajahnya pula baya umur mak-mak atau ayah-ayah. Kemungkinannya samada jemaah umrah/haji yang datang menziarah ataupun keluarga-keluarga yang datang melawat anak-anak.

Dari jauh salah sorang mak cik ternampak kami berdua. Terus tersenyum. Adab bila dah jadi tuan rumah ini tak boleh nak lari dari meraikan tetamu. Kami mendekat dan bertegur sapa. Memang sah apa yang aku congak-congakkan. Orang Malaysia. Jemaah umrah Andalusia yang tengah dalam pakej ziarah ke Mesir. 

"Makcik ada amanat yang nak disampaikan ini. Orang yang minta sampaikan.."

"Amanat? Amanat apa pula yang mak cik ni cakap?", aku tertanya-tanya. Tapi aku simpan tanda tanya tu. Sambil tunggu mak cik ni macam duk cari-cari benda dalam beg nya.

"Nah, ambil ni. Buat belajar.."

Not RM 50. Sorang satu. Kami dua-dua pakat tercengang.

Niat asalnya datang nak meng'habis'kan duit. Tapi sebaliknya di'tambah' pula dalam keadaan tak disangka-sangka. Sememangnya ajal, jodoh, rezeki itu bukan hak kita nak tentukan. Allah yang tetapkan. Bila, siapa dan bagaimana.


Sampai ke siling
'Tembok' kitab
Gudang ilmu
Nak ambil kitab, panjat sini dulu.

Ini yang dibeli-belahkan.
Alhamdulillah, rezeki Allah bagi secara tak disangka-sangka untuk belajar. Jadi, kita manfaatkan.
Ilmu dalam bahasa Arab ni sangat-sangat banyak. Rugi terasa kerana lemahnya penguasaan bahasa. Peluangnya sudah ada, cuma tinggal untuk diteroka.

Moga Allah balas ganjaran yang sebaik-baiknya atas kemurahan hati hambanya itu.

Friday, March 15, 2013

Rumah dan Tangga


Bila sebut rumah.
Terbayang struktur fizikal sebuah bangunan yang teguh. Ada pintunya, ada tingkapnya. Cukup dengan hiasan-hiasan. Bunga sini, bunga sana.
Ada kecil biasa-biasa saja, ada yang besar gedabak.

Rumah tanpa tangga?
Tangga.
Siapa tak kenal? Angkat tangan.

Tapi apabila digabung.
rumah + tangga = rumah tangga.
Maknanya lagi luas. Terbayang rumah yang lengkap dengan keluarga yang menghuninya.

Tangga










Nak bina rumah, orang bukan terus pacak tiang dan tadaa! Siap semua bilik tidurnya, ruang tamunya, dapurnya. Nak buat boleh, tapi kalau runtuh jangan salahkan cakap aku yang ajar.
Aku pun agak-agak sahaja. Tiada bab pembinaan rumah dalam buku Internal Medicine mahupun General Surgery aku tahun ini.

Tapi kalau di Mesir ini, rumahnya tiada yang sebiji-sebiji macam Malaysia. Semuanya bertingkat-tingkat. Macam apartmen. Lagi-lagi di tengah bandar-sesak-pagi-petang-siang-malam Kaherah ini. Kepadatan penghuninya yang tinggi menjadi faktor.

Setiap kali nak bina bangunan baru, mereka gali dulu dalam-dalam bumi padang pasir ini. Tuang simen, batu kerikil, bubuh besi cerucuk. Untuk apa? Supaya foundation nya kukuh. Supaya nanti tiada yang senget sebelah.

Sifirnya, nak buat apa saja mesti ada asas yang kukuh supaya tidak runtuh. Apa asasnya nak bina rumah dengan tangga tadi? Tanya orang yang ahlinya. Aku belum daftar keahlian lagi jadi, tiada skema jawapan disediakan disini. Harap maaf. :)

Nak bina rumah, matlamatnya untuk berlindung dari hujan panas. Merehatkan diri setelah seharian berpenat lelah. Untuk matlamat ini, seluruh bahagian rumah ada peranannya. Tak lengkap rumah tanpa bilik airnya. Tapi kalau bina hanya untuk dapatkan bilik air sahaja, biasanya aku tengok orang tulis 'tandas awam'.

Moga apa sahaja perbuatan mahupun amalan kita matlamatnya kerana Allah. Hatta berumah bertangga. Bukan semata bermatlamatkan seronok-seronok, mahupun sebagai aktiviti memenuhi waktu lapang dan sebagainya. Tiap-tiap perkara itu datang bersamanya tanggungjawab yang bermacam jenis.

Bak kata Uncle Ben Spiderman, "With great power, comes great responsibility!"

Post bersempena hari bahagia bagi mereka-mereka yang hampir di sekeliling aku. Yang elok, kita ambil. Yang tak elok angkut masuk tong sampah, buang jauh-jauh. Ini orang cakap la. Bukan aku. :)

Selamat membina bro!  :)

Sunday, March 10, 2013

Tahun Akhir

Bismillah ar Rahman ar Rahiim

Alhamdulillah. Masih dikurnia nikmat iman dan islam. Masih dipinjam umur yang tak tahu berapa banyak tinggal berbaki. Masih diberi kesempatan lagi buat kesekian kalinya untuk merayau-rayau di blog sendiri. (tak ingat bila last datang sini. err)

Mata ini..dipejam, dicelik, dipejam, dicelik sudah 6 tahun rupanya tercampak ke bumi bertuah Mesir ini. Sekali lagi diberi peluang memegang jawatan sebagai pelajar tahun akhir.

Tahun akhir di sekolah rendah, memori dah berkarat sampai ingat-ingat lupa apa yang jadi. Semangat ke kelas malam untuk UPSR. Padahal semangat bukan sebab kelasnya, tapi sebab boleh main lumba beskal malam-malam dekat sekolah takde pak cik jaga nak kejar.  -_-'
Konklusinya tak perlu nak sibuk-sibuk uruskan diri. Semua siap dihidang!

Tahun akhir di sekolah menengah. Apa yang dilarang, itulah yang nak buat.
"Pelajar-pelajar tidak dibenarkan outing selain dari bandar Klang", terpacak kita di MidValley.
"Waktu prep malam wajib berada di kelas", terbaring pulak kita dalam bilik.
Punya lah 'berlumus tungkus' dengan SPM nya.
Konklusi- Belajar uruskan diri sendiri (macam fail?)

Sekarang, masih berusaha nak menyesuaikan dengan gelaran pelajar tahun akhir kali ini. Iya la, dulu-dulu kalau terserempak dengan orang Malaysia, boleh jadi itu senior atau junior. Tapi sekarang kalau berselisih itu, tentunya junior, tiada lagi senior. Ya, aku tau..aku tau. Nak tuduh dah tua la tu.

Lebih-lebih terasa perbezaannya. Apabila suatu masa dulu, muka-muka ini yang pernah menyambut kita, men'taaruf'kan kita, kini sorang demi sorang kita hantarkan pula untuk kembali ke tanah air. 

Tiada lagi yang siap dihidang. Belajar uruskan diri dan dalam masa sama, urus orang lain dengan tanggungjawab yang diamanahkan.

Masa terus berjalan. Kita sedar atau tidak.

Perjalanan disini sudah semakin hampir ke penghujungnya. Tapi belum pasti hujungnya yang macam mana. Apa pun, kita diberi ruang dan peluang untuk usaha. Selagi mampu. Selebihnya kita serah pada Allah.



Sesi ziarah dan wida' dengan senior Dr Abd Rahman

"Hidup ibarat naik escalator. Duk diam pun akan tetap akan bergerak ke penghujungnya. 6 tahun tak lama. Imam Ghazali kata hidup di dunia sa'ah (sedetik) saja nak banding dengan kehidupan akhirat. Umur jika ada berbaki maka kita akan berjumpa lagi."

Ringkas saja ucapannya. Tapi melekat-lekat rasanya di dalam kepala. Terkesan jauh ke dalam hati.

YA ALLAH,
Engkau mengetahui hati-hati ini,
Telah berkumpul kerana mengasihi-Mu,
Bertemu untuk mematuhi perintah-Mu,
Bersatu memikul beban dakwah-Mu,
Hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariat-Mu,
Maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya,
Maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya,
Maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya,
Kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini,
Akan jalan-Nya yang sebenar,
Penuhkanlah hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu,
Yang tidak kunjung malap,
Lapangkanlah hati-hati ini dengan limpahan Iman dan keyakinan,
Dan keindahan tawakkal kepada-Mu,
Hidup suburkanlah hati-hati ini dengan ma'rifat (pengetahuan sebenar) tentang-Mu,
Jika Engkau mentakdirkan mati,
Maka matikanlah pemilik hati-hati ini,
Sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-Mu,
Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong.


Selamat pulang berkhidmat doktor gen 06 sekalian!
:')