Pages

Saturday, June 22, 2013

Sejuk vs Panas


Cerita musim sejuk.

Di tengah kedinginan malam. Masing-masing tengah lena dibuai mimpi. Pukul 2 pagi, lena hilang entah ke mana bila tiba-tiba pintu bilik di ketuk kuat.
"Bangun! Cepat keluar!"
Kita yang tengah mamai cuba nak kumpul balik maklumat satu-satu.

"Eh, aku kat mana ni?"

Tak sempat nak fikir panjang. "Bangun, cepat keluar! Sakhonah meletup."

Waras mula datang sedikit demi sedikit. Oh, semalam sebelum tidur aku ada buat pendawaian elektrik sakhonah sendiri. Eh, kat mana silap pulak ni? Habis la. Dalam kepala dah bayang-bayang habis meletup sakhonah sebab silap sambungan wayar elektrik.

Bila keadaan makin reda, barulah boleh nak jenguk. Rupanya yang meletup bukan lah sakhonah nya tetapi sambungan paip air sakhonah akibat tekanan air yang tinggi. Air dan wap air panas tersembur keluar.

Alhamdulillah, tiada yang luka-luka. Lega juga bukan aku punya 'kerja'. -_-'
Hasilnya, 2-3 hari tak merasa air panas. Nasib badan menggigil-gigil terpaksa tahan sejuk dek kerana air paip rasa macam ada orang letak ais.

Musim panas sudah mula menjengah kini. Lain pula kisahnya.

Belek-belek ramalan kaji cuaca. Ramalan suhu 45 darjah celcius. Erk.
Kelas tetap berjalan seperti biasa. Matahari semakin meninggi di atas kepala. Seawal jam 9 pagi, bahang mula terasa.

Belum sempat nak melangkah, dah berpeluh-peluh.

Balik sekolah pukul 12 tengahari. Naik motor, angin sepoi-sepoi bahasa. Tapi bahasanya panas lain macam. Kena muka, berbekas-bekas pedihnya. Bahang.

Musim-musim begini juga dapat jumpa housemates baru. Housemates ini yang tak bestnya dia buat macam rumah sendiri padahal satu sen pun tak bayar sewa. Namanya semut, lipas dan lalat. Dari mana-mana entah datang. Tiba-tiba dah siap berumah, beranak-pinak tak minta izin. Nak halau tak sampai hati, jadi terpaksa masak buat lauk bunuh saja lah. Err. 




Macam-macam kisahnya. Kalau mahu merungut, memang tak habis nak disenarai. Nak dikira juga takkan cukup jari tangan dan kaki. Sejuk tak kena, panas pun tak kena.

Setiap rungutan itu, sebenarnya ia ditujukan kepada siapa? Secara tidak langsungnya akan kembali kepada Yang Mencipta. Belajar untuk menerima. Menerima setiap ketentuanNya yang sememangnya terbaik bagi setiap saat dan ketika waktu.


وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras". (Surah Ibrahim 14:7)


Moga kita termasuk dalam golongan yang bersyukur dalam apa jua keadaan. Kerana lambakan nikmat yang tak terhitung banyaknya. Samada yang kita sedar atau tidak. Kerana kita tidak lebih dari sekadar hamba.

Alhamdulillah.

p/s : Hairan sungguh. Perangkap racun serangga yang dibawa dari Malaysia tak beri kesan langsung. Siap sengih-sengih selamba lagi. Huh. Kebal-kebal serangga sini.

*Sakhonah - pemanas air

Friday, June 21, 2013

Don't Mess


Alhamdulillah, dipanjangkan langkah kaki sehingga kini. Sehingga dapat melangkah ke tempat-tempat yang setengahnya tidak pernah aku terfikir atau terbayang untuk sampai. Dalam mimpi atau realiti.

Tempat berbeza suasananya pun ikut sama berbeza. Buat aku lebih membuka mata. Kadang-kadang buat aku terasa asing di bumi sendiri.

Antara yang masih segar aku ingat.

Merantau di tengah bandar Damsyik, Syria. Pertama kali sampai ke sini buat aku jadi makhluk asing(?). Bukan asing yang naik piring terbang-terbang itu. Tapi asing yang tidak tahu hendak tuju ke mana. Ke kiri bukan ke kanan pun bukan. Sesat.

Sepanjang jalan dari tempat penginapan aku camkan bangunannya. Struktur jalan-jalannya. Tapi bila patah balik, macam pertama kali pula aku lihat rupa bangunan dan jalannya. Aku yang tersilap jalan atau bangunan ini yang bertukar tempatnya?

Mujurlah aku diajar dulu-dulu. Malu bertanya sesat jalan.
Jadi, bila dah sesat. Hendaklah bertanya walaupun malu tak tahu nak sorok muka kat mana lagi.

Pandang kiri, pandang kanan. Mencari mangsa untuk disoal-siasat.
Kebetulan lalu 2 orang akhawat.

"Haa, ada pun orang. Ok, Bismillah.."

"Minta maaf, tumpang tanya.."
 
"........"

Tiada jawapan. Terfikir mungkin suara aku tak sampai threshold untuk mengetuk gegendang telinga mereka.
Aku kuatkan sedikit.

"Minta maaf, tumpang tanya.."

Pun sama. Tiada jawapan. Toleh muka pun tidak. -_-'
Aduh, ligat kepala fikir kat mana salahnya. Buat aku rasa betul-betul macam makhluk asing. Muka aku ada iras-iras makhluk asing kah? Sampai takut nak pandang.

Kemudian selisih pula dengan kaum Adam. Baru lah sapaan aku akhirnya berbalas.
Bertanya begitu dan begini sampai lah aku temui kembali jalan pulang.

Aku berjalan pulang dengan kepala sarat. Sarat duk fikir apa sebab musabab nya aku di reject mentah-mentah tadi.

Jawapan itu aku temui akhirnya. Selepas diberi penerangan oleh seorang sahabat. Masyarakat disini sememangnya sangat menjaga wanita-wanita mereka. Jika anda seorang lelaki tidak semena-mena menegur wanita yang tiada apa-apa pertalian, ia adalah sesuatu yang pelik. Lebih-lebih lagi jika wanita itu belum berkahwin.

Lega, rupanya bukanlah kerana aku si makhluk asing. Ia kerana kedudukan wanita begitu ditinggikan di kalangan mereka dan bukan sebarangan orang boleh menjentik mahupun mengusik. Hanya yang tertentu sahaja yang layak.

Akhir-akhir ini, termenung aku. Bila dengar, lihat, dan baca kisah terkini berkenaan bumi Syam sana. Wanita dikasari, diperkosa, dibunuh, dijadikan umpan semata-mata untuk tujuan memancing pihak Mujahidin.

Nasib wanita yang menjadi pelarian pula seolah-olah dijadikan barang perdagangan.

Bumi yang aku kenali dulu begitu menitikberatkan darjat dan maruah seorang wanita itu kini berhadapan dengan krisis. Maruah seorang wanita diperlakukan sewenang-wenangnya oleh puak penindas Nusairiyah yang zalim.



Antara kenang-kenangan yang sempat aku bawa balik dari sana. Masih aku simpan. Tiap kali memandangnya buat aku terkenang. Ayat ini pasti suatu hari nanti akan dapat ditegakkan kembali di bumi sana. Serta mana-mana saja, insyaAllah.

Don't mess with our women!

Allahummansuril Islam wal muslimin ya rabb..